UPM
Julai 2009
Hari itu, kuliahku berbeza dari hari sebelumnya. Aku tidak dapat fokus untuk terus mendengar kata-kata pensyarah yang berada di depan sana. Fikiranku jauh melayang, tidak lain dan tidak bukan sedang memikirkan Nisa yang kini kurasakan semakin jauh dariku. Sedang jauh mengelamun, bahuku seakan-akan ditolak seseorang. Amin, dialah yang mengejutkan aku dari lamunan. Kemudian, aku mendengar pula satu suara yang agak kuat memanggil namaku dari arah depan menyebabkan aku memandang ke arah yang sama.
"Nasri, awak tak dengar ke saya panggil?" Tanya pensyarahku.
Aku menyatakan kepadanya bahawa aku kurang sihat dan berasa pening kepala. Sambil mengerutkan wajahku sedikit kononnya seksa menahan sakit, pensyarahku jelas tertipu oleh lakonanku yang tidak seberapa itu. Aku terlepas kali ini dan dia memintaku untuk berehat saja. Namun, badanku saja yang dapat berehat. Minda dan fikiranku masih lagi memikirkan cara untuk mendapatkan semula nombor telefon Nisa.
Setelah kuliah selesai, aku dan Amin menuju pula ke tempat kuliah yang berikutnya. Kuliahku hari ini agak padat daripada hari-hari yang lain. Boleh dikatakan hampir separuh hariku dipenuhi oleh kuliah-kuliah pada hari ini. Sedang sibuk berbual dengan Amin, tiba-tiba aku disapa pula oleh seseorang dari arah belakang. Aku memalingkan wajah ke arah orang itu dan rupa-rupanya Murnilah orang yang dimaksudkan.
"Assalamualaikum" Dia memberi salam dengan nada yang sangat lembut.
Aku segera menjawab salamnya itu. Aku dapat merasakan yang dia sudah tidak marah lagi kepadaku disebabkan oleh kejadian semalam. Dia seperti ingin memberitahuku sesuatu tetapi Amin juga berada di situ. Amin yang memahami kemudiannya berlalu membiarkan kami berdua sahaja. Sambil berbual, kami meneruskan perjalanan untuk ke kuliah seterusnya. Murni yang memulakan perbualan kami dahulu.
"Saya nak minta maaf dengan awak pasal hal semalam. Saya harap awak tak ambil hati. Saya tahu saya dah tuduh awak secara melulu, tapi sesiapa pun akan marah kalau berada dekat tempat saya." Dia menjelaskan segala-galanya.
"Saya faham. Saya pun nak minta maaf juga kalau-kalau agak terkasar dengan awak semalam." Dia tersenyum mendengar kenyataanku itu. Aku juga turut tersenyum sama.
Dia memberitahuku yang dia tidak dapat menghubungiku semalam walaupun sudah mendapatkan nombor telefonku dari kawan perempuanku yang lain. Lantas aku memberitahunya tentang kemalangan yang telah menimpaku itu. Dia turut menyatakan simpatinya terhadap nasibku itu.
"Habis, awak nak buat apa lepas ni? Handphone?" Tanya Murni.
"Esok saya pergi celcom center dengan kawan saya, dapatkan sim card baru. Saya dah beritahu ayah saya tentang hal ni. Hujung minggu ni dia datang." Jelasku lagi.
Dia tersenyum lagi seakan-akan memahami maksud kata-kataku itu. Mungkin dia fikir, ayahku akan datang untuk memberiku telefon bimbit yang baru. Ya, ayahku akan datang hujung minggu ini tetapi bukanlah untuk memberikan telefon bimbit yang baru. Ayahku datang untuk memberikan telefon bimbit lama milik kakakku yang tidak lagi digunakannya. Asalkan telefon bimbit itu masih dapat digunakan untuk berhubung dengan teman-teman sudah memadai bagi aku.
Namun aku tidaklah pula menjelaskannya lebih lanjut kepada Murni. Kami tidak berbual dengan rancaknya. Kalau satu yang ditanya, satu jugalah yang akan dijawab kerana aku masih malu berbual dengannya memandangkan kami baru sahaja kenal. Lagipun perjalanan kami begitu singkat untuk ke kuliah berikutnya.
Pada sebelah malamnya pula, usaha mencari masih lagi diteruskan. Sejak malam sebelumnya aku cuba menjejaki Nisa melalui laman sosial Facebook. Aku menaip namanya dan terus mencari profilnya di antara ratusan profil yang ada di situ. Malang bagiku tidak mengetahui nama penuh Nisa. Apa yang kutahu hanyalah namanya yang panjang sedikit iaitu Annisa tetapi berapa ramai pula rakyat Malaysia malahan orang Indonesia yang mempunyai nama yang sama seperti itu. Harapanku yang lain terletak pada gambar-gambar mereka namun ada juga yang tidak meletakkan gambar sendiri untuk gambar profil mereka.
Aku benar-benar ketinggalan jauh ke belakang tatkala menyebut tentang teknologi maklumat. Hakikatnya, aku baru sedar akan wujudnya laman sosial Facebook ini dari Mubin semalam. Ketika itu, dia begitu khusyuk di depan komputer ribanya, bersosial bersama teman-teman di laman sosial yang terkenal buat masa sekarang itu. Meskipun aku tahu tentang wujudnya laman sosial lain seperti Friendster, namun tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mendaftarkan diri walaupun aku tahu pendaftaran dilakukan secara percuma kerana aku tidak menyedari kepentingannya ketika itu. Kalau tidak sudah lama aku berhubung dengan Nisa dari situ sahaja.
Dengan bantuan Mubin, aku mendaftarkan diri dan mempelajari segala-galanya dengan membawa objektif nan satu, menjejaki Nisa kembali. Pencarian tetap diteruskan walaupun harus mencarinya dalam banyak-banyak profil yang ada sementara menunggu alternatif lain yang wujud di minda ini.
Bersambung...
2 comments:
nak menulis tu memerlukan bakat. sebab tak semua pandai menulis. tapi, good. awak ade mint. tu yang bagus. btw, teruskan minat menulis.
emm. btw. word verification ni boleh buang jugak :) pegi dekat tempat yang same macam td. die ade tulis word verification. :) biasenye orang tak suke gune. sebab menyemak dan sedikit menyusahkan. :)
Thnx 4 da suggestion tu.. nnt sye try buang word verification tu ye.. hihi.. nnt try baca cerita ni, sebarang penambahbaikan, any idea boleh gtau saya nnt k.. thnx.. :D
Post a Comment